PENGENALAN
Surah Al-Kauthar adalah surah ke
108 dalam Al-Quran. Surah ini termasuk surah Makkiyah dan terdiri dari 3 ayat.
Kata Al-Kauthar bererti nikmat yang banyak dan diambil dari ayat pertama dari
surah ini ertinya kurniaan Allah SWT berupa telaga Al-Kauthar bagi penghuni-penghuni
syurga.
Pokok isi surah ini adalah
perintah melaksanakan solat dan berkorban, kerana Allah memberikan banyak
kenikmatan yang telah dianugerahkan kepada Rasulullah SAW dan bagi mereka yang beriman sedangkan orang kafir yang membenci Nabi
Muhammad SAW mengatakan keturunan Nabi terputus kerana semua puteranya wafat akan mendapat balasannya kelak.
Maka sesungguhnya merekalah yang terputus. (Lihat Tafsiran Ibnu Katsir dan
Al-Azhar).
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."
MAKNA AL-KAUTHAR
Allah Ta'ala telah menyebut sebahagian nikmat yang dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW. Allah Ta'ala berfirman kepada Nabi Muhammad;
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak"
Maksudnya Allah SWT telah menganugerahkan nikmat kepada Rasulullah SAW dan juga telah memberikan kepadanya Al-Kauthar iaitu sungai di syurga yang dijanjikan untuk Nabi Muhammad SAW dan sungai itu disebut telaga Nabi SAW.
Terdapat hadis dalam shahih Muslim, dari Anas, ia berkata, suatu saat Rasulullah SAW di sisi kami dan saat itu beliau dalam keadaan tidur ringan (tidak nyenyak). Lantas beliau mengangkat kepala dan tersenyum. Kami pun bertanya, "Mengapa engkau tertawa, wahai Rasulullah?" "Baru saja turun kepadaku suatu surah." Lalu baginda membaca,
(QS Al-Kauthar 1-3)
Kemudian beliau berkata, "Tahukah kalian apa itu Al-Kauthar?" Allah dan Rasul Nya yang lebih mengetahui," jawab kami. Rasulullah SAW bersabda ;
Al-Kauthar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabbku 'Azza Wa Jalla. Sungai tersebut memiliki kebaikan yang banyak. Ia adalah telaga yang nanti akan didatangi oleh umatku pada hari kiamat nanti. Bejana (gelas) di telaga tersebut sejumlah bintang di langit. Namun ada sebahagian hamba yang tidak dapat minum dari telaga tersebut. Allah berfirman : Tidakkah engkau tahu bahawa mereka telah berbuat via'ah sesudahmu."
(HR Muslim No. 400)
Ada pelajaran berharga dari Ibnu Katsir mengenai cerita tentang Al-Kautsar diatas, beliau berkata :
"Kebanyakan ahli qiroah berdalil dari sini bahawa surah Al-Kauthar adalah surah Madaniyah dan kebanyakan dari fuqoha memandang bahawa bismillah adalah bahagian dari surah ini kerana ia turun bersamanya."
(Tafsir Al-Qur'an Al 'Azhim, 14:476)
Namun Ibnul Jauzi mengatakan bahawa jumhur termasuk Ibnu 'Abbas berpendapat bahawa surah ini adalah surah Makkiyah. (Zaadul Masiir, 9:247)
Ibnul Jauzi memperincikan ada enam pendapat mengenai makna Al-Kauthar :
1. Al-Kauthar adalah sungai di syurga.
2. Al-Kauthar adalah kebaikan yang banyak yang diberikan pada nabi kita Muhammad SAW. Demikian pendapat Ibnu 'Abbas.
3. Al-Kauthar adalah ilmu dan Al-Quran. Demikian pendapat Al Hassan Al Bashri.
4. Al-Kauthar adalah nubuwwah (kenabian) sebagaimana pendapat 'Ikrimah.
5. Al-Kauthar adalah telaga Rasulullah SAW yang banyak manusia mendatanginya. Demikian kata 'Atho'.
6. Al-Kauthar adalah begitu banyak pengikut dan umat. Demikian kata Abu Bakr bin 'Iyasy. (Lihat Zaadul Masiir, 9:247-249)
Sifat Sungai Al-Kauthar
Banyak hadis yang menjelaskan tentang sifat dan ciri-ciri sungai Al-Kauthar. Salah satunya adalah hadis dari sahabat Anas bin Malik r.a yang berisi berita tentang Rasulullah SAW dalam peristiwa isra' dan mi'raj bahawasanya beliau SAW bersabda, : "Ketika aku berjalan-jalan mengelilingi Al-Jannah (syurga) ditampakkan kepadaku sebuah sungai yang kedua tepinya terdapat bangunan-bangunan kubah yang diperbuat dari intan berlian, kemudian seorang malaikat yang bersama beliau mengatakan kepada beliau, "Tahukah engkau (wahai Muhammad SAW) apa yang sedang engkau saksikan ini? Inilah Al-Kauthar yang Allah SWT telah persiapkan untukmu."
(Tafsir At-Thabari 30/208)
Inilah sekilas sifat sungai Al-Kauthar yang Allah SWT siapkan untuk Rasulullah SAW di Jannah (syurga). Setelah Allah SWT menyebutkan nikmat tersebut kemudian Allah perintahkan Nabi Nya untuk bersyukur dalam ayat yang berikutnya.
Khasiat Yang Terkandung Dalam Surah Ini
1. Ketika hujan, bacalah surah ini dan berdoa. Insya Allah doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT.
2.Ketika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosokkan dileher. Insyaa Allah, Allah hilangkan rasa dahaga.
3. Ketika kita sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak. Sapukan air tawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.
4. Ketika rumah dipercayai terkena sihir, bacalah surah ini 10x. Insyaa Allah, Allah SWT memberi ilham kepada kita dimana letaknya sihir itu.
5. Jika kita membaca surah ini 1,000x. Insyaa Allah rezeki kita akan bertambah.
6. Jika kita rajin membaca surah ini, Insyaa Allah hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.
7. Jika ada orang teraniaya dan terpenjara, bacalah surah ini sebanyak 71x. Insyaa Allah, Allah SWT akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menyampaikan (satu) ilmu saja dan ada orang yang mengamalkannya, maka walaupun yang menyampaikan sudah tiada (meninggal dunia), dia akan tetap memperolehi pahala." (HR Al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment